Feeds:
Posts
Comments

 Iman bukan sesuatu yang boleh dilihat dengan pandangan zahir. Tetapi ianya boleh diukurnilai dengan taqwa, tindakan dan amalan seseorang hamba kepada PenciptaNya.

Persoalan pada tajuk diatas saya bentangkan kepada pembaca sekalian untuk masing-masing mencari kayu ukur untuk menilai dimana kedudukan kita sebagai hamba. Adakah kita percaya kepada Allah, atau kita mempercayakan diri kita kepada Allah. Ramai dan majoriti manusia mengakui percaya kepada Allah, tapi tak ramai yang samada secara sedar atau tidak sebenarnya tidak mempercayakan diri mereka kepada Allah SWT.

Pening??. Keliru??. Apa maksud mempercayakan diri kepada Allah??. Ada bezakah percaya kepada Allah dan mempercayakan diri kepada Allah?. Kalau difikir dengan teliti, satu perbezaan yang sangat jelas dan ketara bagai langit dengan bumi antara dua entiti tersebut.

Sebagai suatu contoh. Sebuah badan telah menganjurkan acara meniti diatas tali untuk mencari siapakah peniti tali yang paling hebat di dalam dunia. Acara yang diadakan di Air Terjun Niagara itu mendapat liputan dan perhatian seluruh dunia. Maka terkumpullah 10 orang peserta lelaki terbaik dari serata dunia untuk menyahut cabaran tersebut. Siapa jatuh risiko sendiri. Maka bermulalah acara yang sangat mendebarkan itu. Peserta pertama mula meniti. Para penonton dan pemerhati melihat dengan penuh debaran di seberang sana. Akan tetapi, belum sempat sampai ke tengah, tiba-tiba dia jatuh kerana tiupan angin terlalu kuat.

Begitulah keadaannya dengan peserta-peserta yang lain sehinggalah giliran peserta yang kesepuluh. Masing-masing dengan yakin mengatakan bahawa peserta ini juga akan menemui ajalnya nanti. Lelaki tersebut mula meniti dengan perlahan-lahan sehingga berjaya sampai ke seberang. Beliau menjerit keseronokan sambil mengatakan akulah peniti tali terhebat di dunia sedangkan para penonton sedikitpun tidak bersorak kegembiraan dan penuh ketakjuban. Masing-masing mengatakan apa yang berlaku hanyalah nasib kerana mana mungkin 9 orang termahir di dunia pun boleh jatuh melainkan dia seorang sahaja. Mungkin ketika itu angin tidak bertiup. Bengang dengan keadaan itu, lelaki tersebut dengan megah berkata, “baiklah, kalau kamu semua tidak percaya tentang kepandaian dan kehebatan aku, aku akan menyeberangi tali itu sekali lagi dan kalau aku berjaya adakah kamu semua akan percaya dan yakin bahawa aku inilah yang terhebat dan terpandai di dalam dunia?!!”. Mereka semua menjawab, “Ya, kami akan percaya”

Maka dia pun menyeberangi sekali lagi. Secara perlahan-lahan akhirnya sampai ke seberang sana. Para penonton semua bersorak penuh ketakjuban. Dia bertanya kepada semua hadirin. “Adakah kamu percaya aku ni terhebat dan terpandai??”. Mereka menjawab “Ya kami percaya!!”. “Kamu yakin??”. Mereka menjawab lagi, “Ya Kami yakin!!”. “Kalau begitu mulai hari ini aku mengisytiharkan akulah peniti tali terhebat, terpandai dan terbaik dunia”. Semua hadirin bersorak tepuk kerana percaya kepada kehebatan lelaki tersebut. Dia kembali berkata, “kalau kamu semua percaya, aku minta salah seorang sukarela di antara kamu. Aku akan dukungnya di atas belakang aku dan menyeberangi jurang air terjun ini!!”. Masing-masing terdiam!. Tiada siapa yang sanggup untuk menjadi sukarelawan dalam tawaran tersebut. Siapa yang sanggup menggadaikan dan menyerahkan sepenuhnya hidup kepadanya walaupun percaya dengan kepandaian lelaki tersebut.

Sekonyong-konyong dari celah orang-orang yang ramai itu keluar seorang kanak-kanak yang dengan lantang menyatakan, “pakcik!!, saya sanggup!“. Masing-masing terkejut. Ada juga manusia yang mempercayakan dirinya kepada lelaki tersebut. Sanggup menyerahkan sepenuhnya risiko hidup matinya kepadanya. Maka mereka pun perlahan-lahan meyeberangi tali tersebut dan akhirnya selamat sampai ke seberang. Semua penonton terus menyerbu kanak-kanak tersebut sambil memuji-muji keberanian dan kesanggupan peyerahan hidup kepada lelaki itu. Mereka bertanya, “bagaimana adik boleh percaya dia boleh membawa dan meyelamatkan adik dari jatuh kebawah?”. Lantas dia menjawab penuh yakin, “sebab dia yang mengajar saya percaya dan mempercayakan diri saya kepadanya”..

Contoh panjang yang saya bawakan ini jelas menunjukkan beza antara dua yang kelihatan serupa itu. Falillahil Mathalul A’la. Sebab itulah ada manusia yang beriman tetapi masih lagi berbuat maksiat kepadaNya. Ada lagi yang melawan suruhanNya. Merasa dirinya sama besar dengan Allah atau besar sedikit dariNya sehingga sanggup menentang segala arahan, suruhan dan hukum-hukumNya secara terang-terangan.~Subhanallah..~ Adakah ini hakikatnya iman??…

Oleh yang demikian itu, sempena keberkatan awal Muharram ini, marilah sama-sama bermuhasabah dan mencari dimana kedudukan iman kita kepada Allah SWT dan sama-samalah kita mulakan penghijrahan kita pada tahun ini dengan mengoreksi iman yang terkadang bertambah dan berkurang ini. Berubahlah dari yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada lebih baik. Sayugialah bagi kita hamba yang penuh pergantungan kepada Yang Maha Pencipta ini yakin dan sedar bahawa hidup dan mati kita ini sepenuh-penuhnya berada didalam tangan dan kekuasaan Allah. Ramai yang percaya begitu, tapi ramaikah yang mempercayakan diri mereka sebegitu??…

www.fahinsproperty.blogspot.com

 Mandi songsang adalah satu kaedah terapi yang amat hebat dan menghasilkan kesan yang menakjubkan kepada pengamalnya. Apakah itu mandi songsang?

Lazimnya pada masa sekarang ramai orang akan mandi dengan menjiruskan air bermula pada bahagian kepala. Situasi ini sebenarnya akan memberikan impak yang buruk kepada otak seterusnya akan memberikan kesan yang buruk pada kesihatan diri.

Sistem saraf pendarahan otak akan mengecut kerana siraman air tersebut . Ini akan membuatkan sistem otak akan terjejas. Cara mandi biasa akan menyebabkan sistem pertahanan badan akan menjadi lemah. Seluruh sistem hormon dan kimiawi badan adalah diatur dan disettingkan di dalam kepala, maka cara mandi biasa lebih banyak akan memberikan impakm yang buruk kepada sistem pertahanan bandan

Jadi , apa itu mandi songsang? Mandi songsang adalah amalan membasahkan tubuh badan bermula dari kaki dan beransur-ansur membasahi bahagian atas badan kemudian diakhir dengan kepala.

KEBAIKAN DAN KELEBIHAN (INSYAALLAH)

  • Menjadikan pengamalnya AWET MUDA DAN FRESH.
  • Mengembangkan salur darah otak- menjadikan sistem darah di bahagian otak jadi bertambah baik untuk berfungsi.
  • Menjadikan sistem pertahanan badan akan bertambah baik fungsinya seterusnya menjana sistem hormon badan dengan lebih hebat untuk tahap kesihatan yang maksimum.
  • Mengurangkan tekanan (Stress ) yang telah dihasilkan oleh otak.
  • Melancarkan perjalanan darah.
  • Menjadikan pengamal semakin pintar
  • Meninggikan daya ingatan
  • Mengelakkan atau Mengurangkan sakit kepala
  • Menjadikan state mood yang tenang dan ceria
  • Menjadikan jiwa sentiasa bersemangat
  • Memiliki daya ketahanan mental
  • Menambahkan semangat berani
  • Menguatkan gusi dan gigi
Dan banyak lagi yang akan diketahui apabila mula diamalkan

SABDA RASULLULAH : MINTALAH KEYAKINAN DAN KESIHATAN YANG BAIK

sumbangan artikel dari http://mindataqwa.blogspot.com/2007/12/rahsia-kebaikan-mandi-songsang.html

Luruskan saf-saf kamu!!

Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai.

Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita.

Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat. (riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Iqamah al-solah min tamam al-solah, no:723, Muslim, Kitab: al-solah, bab: taswiyah al-sufuf wa iqamatiha… no:973).

Hadis yang lain daripada Anas bin Malik: adalah Rasulullah SAW memalingkan wajah baginda ke arah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir seraya berkata: luruskan dan betulkan saf kalian. (al-Bukhari, Kitab:Azan, Bab: Taswiyah al-sufuf…,no:718, Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-sufuf…, no:975).

Dalam hadis yang lain, daripada al-Nu’man bin Bashir telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.” (Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-Sufuf…, no:978, Abu Daud, Kitab: al-Solah, bab: Taswiyah al-Sufuf, No: 663, al-Tarmidzi, Kitab: al-Solah, Bab: Ma ja fi iqamati al-Saf, no: 227.)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan”. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm: 443)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Imam al-Nawawi. Beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika bersaf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati”.

Sementara Qadi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan, “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (iktidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai.

Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya”.

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajipan.

Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jemaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khattab r.a. pernah memukul Abu Uthman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm:447).

Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian”. (al-Bukhari, no: 724)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan saf dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti kepada kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menyebabkan hilangnya fadilat solat berjemaah.

Yang paling malang ialah Allah SWT memalingkan wajahnya daripada golongan yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat itu ditunaikan untuk menghadap Allah SWT, komunikasi seorang hamba kepada penciptanya secara langsung, tapi malangnya Allah memalingkan Rahmat dan Kasih sayang-Nya.

Sekiranya saf yang dibentuk terputus dari imam tanpa sebarang punca atau alasan syarie, maka solat jemaahnya tidak sah. Lebih-lebih lagi masih ada ruang yang diisi di dalam dewan solat atau yang boleh menggabungkan antara saf-saf dalam masjid atau surau.

Wallhua`lam

Wahai kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, marilah kita sama-sama bermuhasabah serta membuat renungan dengan mata hati kita serta akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita supaya kita tidak terjebak kepada bahaya syirik dan kemurkaan Allah dengan cara yang tidak kita sedari samada dengan hati, perbuatan atau perkataan. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu adalah Maha Esa lagi Tunggal dan Dia mempunyai nama-namaNya Yang Maha Terpuji.

Oleh itu panggil dan serulah akan nama-namaNya Yang Maha Terpuji sebagaimana yang disebutkan didalam Al-Quran. Masyarakat melayu khususnya memang telah sebati dengan kefahaman dan anggapan bahawa Allah itu adalah Tuhan dan Tuhan itu Allah. Ketika berdoa mereka akan menambah doa mereka dengan menyebut (contoh): ‘Ya Allah Ya Tuhanku..’ Persoalannya disini adakah layak untuk kita menganggap Allah itu adalah  Tuhan dan dari manakah punca serta asal perkataan Tuhan..? Adakah kita menjadikan alasan bahawa nenek moyang kita sejak dari dahulu telah menggunakannya maka kita terus mewarisi kepercayaan itu tanpa kita mempunyai pengetahuan yang sebenar tentangnya ? Tahukah kita akan maksud sebenar dan perbezaan antara perkataan ‘Tuhan’ ‘ Robb’ dan ‘Ilah’ yang selalu kita temui didalam terjemahan Al-Quran serta kitab-kitab agama yang kita baca? Selama ini mungkin kita memahami ketiga-tiga perkataan tersebut dengan satu maksud iaitu ‘Tuhan’(sebutan yang digunakan oleh bangsa Melayu sahaja) sedangkan sebenarnya tidak ada perkataan Arab yang boleh merujuk kepada perkataan‘Tuhan’.

Para Nabi dan Para Rasul diutus oleh Allah dikalangan bangsa arab dan Al-Quran juga telah diturunkan oleh Allah didalam bahasa arab .

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


Dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa mereka yang musyrik itu berkata: ” sebenarnya Dia diajar oleh seorang manusia”. (padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu adalah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa arab yang fasih nyata.    ( Surah An-Nahl – ayat 103 ) .

Al-Quran juga telah menyebutkan Robb atau Ilah yang merupakan bahasa arab itulah yang selayaknya panggilan untuk Allah. Kita sedia mengetahui ketika mengucap dua kalimah syahadah kita telah mengatakan ‘Tidak ada Tuhan melainkan Allah’.Ini bermakna ketika itu kita telah menafikan adanya ‘Tuhan’, dan yang kita isbatkan hanya Allah, yang wujud hanya Allah sebagai Robb atau Ilah iaitu Pencipta kita, Pengatur dan Pentadbir seluruh alam ini. Kenapa pula ketika berdoa contohnya kita mengadakan semula Tuhan yang telah kita tiadakan tadi dengan berkata ‘ Ya Allah Ya Tuhanku’…?

Ketahuilah bahawa Allah adalah pencipta kita dan pencipta kepada seluruh alam ini.Itulah yang perlu kita jawab jika kita ditanya tentang Allah. Dengan itu kita akan dapat merasakan hubungan dua hala yang lebih dekat iaitu antara Pencipta ( Allah ) dengan yang diciptakan( kita sebagai hamba). Tidak menjadi masalah jika kita berdoa didalam bahasa arab tetapi jika kita berdoa dalam bahasa melayu maka ucapkanlah Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang atau Wahai Penciptaku / kami…..’

Dua Fakta Tentang Asal Usul Perkataan Tuhan

Pertama :-


Didalam majalah Tiara kajian Alif Danya Munsyi, asal usul perkataan Tuhan hanyalah ‘pelesetan’ dari kata Tuan dimana ia berpunca dari seorang Belanda yang telah tersalah sebut perkataan ‘Tuan’ Kepada Tuhan. Paulus yang berasal dari Turki telah memanggil Isa Al-Masih dengan panggilan ‘Tuan’. Pada setiap akhir suratnya, Paulus selalu menyebut Isa Al-Masih sebagai Tuan: ‘Semoga rahmat Isa Al-Masih Tuan kita menyertai roh kita.’


Ketika tulisan surat tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa  Indonesia, ia dimulakan pada tahun 1663 oleh seorang yang berbangsa Portugis bernama Browerius.Pada ketika itu gelaran bagi Isa Al-Masih masih lagi Tuan, tetapi ketika orang Belanda bernama Leijdecker pada tahun 1678 menterjemahkan surat-surat Paulus itu, sebutan Tuan telah berubah menjadi Tuhan. Dengan kata lain, Leijdecker yang pertama kali menulis perkataan Tuhan. ( sila rujuk laman web http://wiriajaya.multiply.com/journal/item/85 ).

Dengan demikian, dapat difahami bahwa perkataan Tuhan masuk  kedalam bahasa Indonesia sebagai pengaruh teologi agama ( kristian ) pada mulanya hanyalah sebagai ‘pelesetan’ atau ‘salah tulis’ oleh seorang Belanda, tapi selanjutnya dibakukan sebagai perkataan baru yang disejajarkan dengan kata ‘Ilah’ dan ‘Robb’ dalam bahasa Arab. Kerana itulah dalam Kamus Umum Bahasa Indonesia, W.J.S. Poerwadarminta (seorang Katolik) tidak memberikan keterangan apa pun tentang kata Tuhan, kecuali menyamakannya dengan Allah!

Kedua :-

Perkataan Tuhan juga berasal daripada bahasa sanskrit iaitu bahasa kuno yang di gunakan oleh agama Hindu di Indonesia. Ini disebabkan agama Hindu adalah yang terawal masuk ke Indonesia juga di Malaysia sebelum berkembangnya agama Islam di dua negara tersebut. Penganut agama Hindu beranggapan bahawa sesuatu yang berkuasa seperti dewa-dewa mereka itu sebagai Tuhan.Kesan dari pengaruh agama Hindu yang ada pada masa itu atau melalui bekas penganutnya yang memeluk Islam Allah yang maha berkuasa itu juga telah dianggap sebagai Tuhan. Bahasa Melayu adalah bahasa pinjaman atau ikut-ikutan, dimana Bahasa Melayu sebenarnya hanya mempunyai tiga perkataan yang asal atau asli iaitu ‘batu’, ‘kayu’ dan ‘padi’. Ini bermakna bahawa perkataan Tuhan juga adalah bahasa pinjaman daripada bahasa sanskrit yang digunakan oleh penganut Hindu dan mempunyai maksud yang sangat bertentangan dengan keesaan Allah iaitu Tu bermakna Kepala dan Han pula bermakna Dewa ( Kepala Dewa) yang mana, dewa adalah sembahan kepada penganut agama Hindu. Jika merujuk makna Tuhan seperti yang terdapat didalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi keempat (2005) diantara maksud Tuhan juga disebut sebagai Dewa berkepala Dua .

Wahai kaum muslimin dan muslimat  yang dirahmati Allah, kita hendaklah menyedari bahawa pengedaran  kitab suci Al-Quran yang mempunyai terjemahan ke dalam bahasa melayu di negara kita pada awalnya banyak diterbitkan dan dicetak dari Negara Indonesia. Kita orang melayu yang beragama Islam di Malaysia hanya mengikut dan menukarkannya daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia. Sedangkan ada perkataan melayu seperti perkataan Tuhan itu tidak ada maknanya untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Allah s.w.t. berfirman didalam Al- Quran yang bermaksud:

Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: “Sesungguhnya Aku ialah Tuhan selain dari Allah”, maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya Dengan (azab) neraka Jahannam; Demikianlah Kami membalas golongan Yang zalim. (Al-Anbiya. Ayat 29.)

‘Robb’.


Robb adalah daripada perkataan arab yang terkandung didalam Al-Quran. ‘Robb’ itu adalah sifat Allah sebagai Al-Khaliq iaitu sifat Allah yang Maha Pencipta, Pendidik dan Pengatur bagi alam semesta ini. Maka daripada makna tersebut mengandungi erti “Allah adalah pencipta Adam lalu Allah mendidik Adam dan Allah jualah yang mengatur kehidupan Adam”. Oleh itu “Robb” tidak boleh diberi makna sebagai Tuhan seperti yang terdapat didalam terjemahan Al-Quran yang ada kini kerana terjemahan perkataan Tuhan itu sebagaimana yang telah dijelaskan diatas mempunyai maksud yang sangat tidak baik kepada Allah.. Pengertian Robb telah disalah ertikan oleh golongan terdahulu dan diantara kesalahan penggunaan perkataan Robb yang perlu diperbetulkan  sebagai contoh adalah ketika kita berdoa :- “Ya Allah, Ya Robbi” apabila ditukar kepada bahasa Melayu ia hendaklah bermaksud, “Ya Allah, Wahai Penciptaku, Pendidikku, Pengaturku”, bukan ‘Ya Allah Ya Tuhanku’.

Ilah’.

Salah satu perkara fundamental yang berkait dengan aqidah seorang muslim dalam mentauhidkan Allah ialah pengertian Dua Kalimah Syahadah. Didalam ucapan kalimat  Laa ilaaha ill-Allah itu terdapat kata Ilah yang seringkali diterjemah dengan perkataan Tuhan. Padahal terjemahan itu tidak terlalu menjelaskan makna Ilah tersebut. Dalam bahasa arab ‘Ilah’ itu mengandungi maksud yang lebih tepat dengan tiga makna mendasar yakni (1) mahbuub (yang dicintai), (2) matbuu’ (yang dipatuhi/ditaati) dan (3) marhuub (yang ditakuti). Maka daripada makna tersebut mengandungi erti “ Aku naik saksi bahawa tidak ada yang kucintai, lalu kupatuhi dan kutakuti selain daripada Allah”. Selain itu di dalam pengajian ilmu tauhid selama ini kita juga telah diajar bahawa sifat 20 itu sebagai Sifat Ketuhanan sedangkan sepatutnya kita memahaminya sebagai Sifat Allah / Sifat Pencipta ( Al-Khaliq ) bukan sifat ketuhanan. Wahdaniah adalah antara sifat Allah yang terkandung didalam sifat 20 yang wajib bagi Allah dimana ia menjelaskan bahawa Allah itu tunggal tidak berbilang-bilang.Perkataan Tuhan apabila disebut sebenarnya menjadi terlalu umum dan tidak merujuk terus kepada Allah kerana disana ada Tuhan Hindu, Tuhan Buddha, Tuhan Kristian dan bermacam-macam lagi kerana  sememangnya tuhan itu sifatnya adalah berbilang-bilang.Adalah tidak wajar untuk mengaitkan Allah dengan sifat ketuhanan kerana terdapat banyak tuhan yang hendak dikenalpasti.Yang wujud adalah Zat dan Sifat Allah sendirian mentadbir alam ini tidak ada yang lain.Biarlah hanya orang-orang bukan Islam atau yang musyrik saja terus dengan anggapan dan kepercayaan mereka untuk menyebut dan mempunyai tuhan-tuhan.Umat Islam hanya perlu menyebut nama Allah Yang Maha Esa secara mutlak ( sebagai Pencipta / Robb / Ilah kita ) dimana ucapan kita tidak akan sama seperti mereka ( tidak perlu ada tuhan) sebagai membezakan ketunggalan dan keesaan Allah yang tidak boleh disamakan atau ada perbandingan bagiNya dengan sesuatu juapun. Maha suci Allah dari apa yang mereka sifatkan.

Setelah kita mengetahui akan hakikat perkataan Tuhan itu, bermula dari saat  ini marilah kita memperbanyakkan menyebut nama Allah s.w.t. atau nama-nama-Nya didalam Asmaul-Husna samada didalam kehidupan seharian atau ketika beribadah  kerana itulah nama sebenar bagiNya yang layak untuk dipanggil. Janganlah lagi kita menganggap Tuhan itu adalah Allah kerana Tuhan itu bukan nama ataupun gelaran bagi Allah sebagaimana sangkaan ataupun anggapan umat Islam yang berbangsa melayu selama ini.Jika kita berdoa dengan mengungkapkan perkataan Tuhan sebenarnya seolah-olah kita telah tersilap alamat untuk menyampaikan hajat kita ke destinasinya yang betul menyebabkan doa kita tergantung atau lambat dimakbulkan kerana kita telah menambah nama yang bukan nama Allah berserta namaNya yang mulia.Kita menyangka dengan menyebut Tuhan bersama nama Allah itu lebih mendekatkan lagi diri kita kepada Allah sedangkan pada hakikatnya apa yang kita sebut itu mempunyai maksud yang tidak baik sebagaimana yang telah dijelaskan tadi. Disebabkan kita tidak pernah mengkaji kita perlu akui bahawa kesilapan yang tidak kita sedari seperti ini menyebabkan kita seolah-olah tidak dihiraukan oleh Allah.Dengan sebab itu pelbagai masalah terus melanda negara kita samada politik atau sosial dan sebagainya tanpa ada jalan penyelesaiannya disamping tekanan hidup yang semakin menghimpit umat Islam dewasa ini.

Bagi umat Islam,lazimnya ketika mereka sedang sakit secara spontan mereka akan merintih dan menyebut nama “Allah..Allah..Allah..” dengan jelas dan penuh pengharapan dan tidak mungkin ada yang menyebut Tuhan..Tuhan..Tuhan” pada ketika itu.Begitu juga apabila kita terpandang kalimah Allah di langit misalnya, sudah tentu kita  akan berkata bahawa kita telah melihat kalimah Allah dan bukan kalimah Tuhan tetapi mendukacitakan kerana ramai dikalangan kita yang lebih banyak dan suka menyebut perkataan Tuhan berbanding menyebut nama Allah dalam perbualan seharian sedangkan sepatutnya kita bersyukur dan berbangga untuk sentiasa menyebut nama Allah.Kita membantah apabila sekumpulan penganut kristian memohon untuk menggunakan nama Allah dalam amalan agama mereka sedangkan kita sendiri lebih suka menyebut perkataan Tuhan berbanding nama Allah itu sendiri. Adakah kita malu untuk menyebut nama Allah atau kita merasakan hubungan kita dengan Pencipta kita itu begitu jauh sekali? Fikirkanlah…

Seterusnya lihatlah pula contoh perbandingan diantara senikata lagu Negaraku dan lagu Negeri Johor. Mengapakah didalam senikata lagu Negaraku menggunakan perkataan Tuhan sedangkan senikata lagu Negeri Johor tidak ada walau sepatah pun perkataan Tuhan melainkan yang ada hanyalah nama Allah. Ini bermakna seluruh pelajar di Negeri Johor termasuklah pelajar-pelajar yang bukan Islam sejak sekian lama telah menyebut nama Allah ketika menyanyikan lagu tersebut tanpa sebarang masalah yang berbangkit. Jika lagu Negeri Johor boleh menggunakan sepenuhnya nama Allah, mengapa tidak kita jadikannya sebagai contoh yang baik untuk diikuti dengan menggantikan perkataan Tuhan itu kepada nama Allah samada didalam lagu Negaraku, Rukunegara dan lain-lain lagi serta yang lebih penting lagi adalah ketika kita beribadah kepada Allah khususnya ketika berdoa supaya mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah s.w.t.

Sila rujuk senikata kedua-dua buah lagu dibawah ini:

Lagu Negaraku

Negaraku, tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup ,bersatu dan maju
Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan
Raja kita, selamat bertakhta
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita, selamat bertakhta

Lagu Negeri Johor


Allah
peliharakan Sultan
Anugerahkan dia segala kehormatan
Sihat dan ria kekal dan makmur
Luaskan kuasa menaungkan kami
Rakyat dipimpini bersama lagi
Dengan perintah bersatu hati
Allah berkati Johor, Allah selamatkan Sultan


Mudah-mudahan apabila kita sanggup untuk melakukan perubahan dengan memperbanyakkan   menyebut nama Allah akan terbukalah pintu-pintu rahmat dan kurniaan Allah kepada kita semua..insyaallah. Percayalah, bahawa kita tidak akan rugi walau sedikitpun jika kita meninggalkan dari menyebut perkataan Tuhan itu tetapi kita sangat merugi jika kita tidak mahu menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya kerana hanya kepada Allah pergantungan hidup kita di dunia dan akhirat.Meskipun penggunaan perkataan Tuhan ini telah sekian lama berlarutan adalah diharapkan agar para Alim Ulama, Para Cendikiawan Islam dan pihak yang berkuasa khususnya di negara kita Malaysia supaya dapat menerima serta memahami apa yang cuba disampaikan disini dengan hati yang terbuka, berlapang dada, berjiwa besar serta sentiasa bersandar kepada hidayah Allah dalam mencari kebenaran seterusnya bersama memainkan peranan yang penting untuk menyampaikannya pula kepada seluruh umat Islam dalam memperbetulkan kekeliruan kita selama ini. Allah mempunyai nama-nama-Nya yang baik, oleh itu gunakanlah nama-nama Allah yang baik itu didalam kehidupan  kita dan berdoalah sebagaimana contoh berikut :- “Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…” Bukankah indah dengan doa yang sebegini…dan janganlah kita menyebut perkataan Tuhan itu lagi…

Firman Allah s.w.t. yang bermksud :

Dan Allah mempunyai nama-namaNya yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya Dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.    ( Surah Al-A’raaf, ayat 180 )

Apa yang diperjelaskan disini bagi sesetengah pihak mungkin menganggap ia hanya  membabitkan soal istilah atau bahasa yang agak remeh dimana kita hanya perlu bergantung kepada apa yang kita niatkan ketika menyebutnya…Tugas kami hanya menyampaikan dan  menjelaskan semata-mata kerana Allah. Sedari dan yakinlah bahawa, diatas dunia ini mungkin ia dipandang remeh tetapi kita bimbang jika ia menjadi suatu yang sangat berat setelah kita berhadapan dengan Allah di akhirat kelak kerana salah satu perkara yang boleh menjejaskan iman dan akidah kita disisi Allah adalah  melalui perkataan.Walaupun kalimah Laa ilaha illallah itu ringan dibibir tetapi timbangannya adalah lebih berat dari dunia dan seisinya! Fahamilah ia..

Sebagai penutup ingatlah wahai kaum muslimin dan muslimat  yang dikasihi, bagi mereka yang merenung dengan matahati, mereka tentu meyakini bahawa dunia ini sebenarnya telah semakin menghampiri ke penghujungnya.Samada kita sedar atau tidak, hari kebangkitan yang dijanjikan oleh Allah pasti akan terjadi secara mengejut ketika manusia asyik leka dengan urusan dunianya.Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha membersihkan nama Allah dan memperbanyakkan menyebut nama Allah didalam kehidupan kita yang berbaki ini. Tinggalkanlah sesuatu yang tidak berkaitan dan tidak dituntut ketika ingin menyebut nama Allah agar kita beroleh keredhaanNya di dunia dan akhirat. Semoga Allah menjadikan kita semua sebagai hambaNya yang sentiasa bertaubat dan diberikan keampunan.amin..Wassalam.


Membersih Nama Allah

ilhamhikmah@gmail.com

attawwab@gmail.com

http://cahayahikmah.wordpress.com


Imam As-Sya’rani r.a.: “Seseorang itu selalunya, mengingkari apa yang dia jahil tentangnya”

Dalam khazanah kisah-kisah Sufi ada diceritakan tentang seorang pemuda yang begitu lantang mencemuh tokoh sufi Zun Nun Al Misri dan tarikatnya. Sesudah si pemuda puas memperlihatkan kebenciannya, Al Misri mencabut cincin daripada jarinya dan berkata, “Bawalah cincin ini ke pasar, gadaikanlah dengan harga satu dinar saja”

Pemuda itu hairan, namun cincin itu diterimanya jua dan dibawa ke pasar. Dia menawarkan kepada para pedagang, dari penjual buah sampai penjual makanan. Tiada seorang pun melirik apatah lagi tertarik. Lalu dengan wajah hampa pemuda itu kembali kepada Al Misri dan berkata, “Engkau membohongiku, cincin ini tidak berharga”

Jawab Al Misri, ” Jangan marah dulu, sekarang juallah cincin itu kepada ahli permata. Tawarkan seribu dinar.”

Tentu saja pemuda itu menjadi gusar. tapi rasa ingin tahunya membuatkan dia menuruti perintah ahli sufi itu. Sungguh menghairankan, ternyata para pedagang permata berebut untuk membeli cincin itu. Pemuda itu merasa takjub dan bergegas menemui Al Misri dan berkata ” Mereka bersaing untuk membelinya.”

“Nah.” kata Al Misri. “Orang tidak akan mengetahui suatu benda berharga atau tidak jika ia belum mengenalnya. Bagaimana mungkin kamu berani mencaci para sufi dan ilmu tasauf, jika kamu belum mengetahui isinya? Pelajari dulu baik baik, barulah tentukan pendapatmu. Itulah sikap orang bijak.”

12 Jamadilakhir 1429H

Al-Haqir ila ALLAH al-Ghaniy:

Almukminun

http://almukminun.blogspot.com/

Muhasabah Malam Ini

Ibnu al-Jauzi berkata, Sesungguhnya kejahatan sekalipun satu kejahatan, maka ia diikuti dengan 10 perkara tercela :

  1. Apabila seorang hamba melakukan satu dosa, maka dia menimbulkan kemurkaan Allah dan Dia Maha Kuasa atasnya.
  2. Ia mengembirakan Iblis la’natullah
  3. Ia menjauhkan dari Syurga
  4. Ia menekatkan kepada Neraka
  5. Ia menyakiti sesuatu yang lebih dicintainya iaitu dirinya
  6. Ia menajisi dirinya sedangkan ia suci
  7. Ia menyakiti Malaikat yang menjaganya
  8. Ia menyedihkan Rasulullah SAW dalam kuburnya
  9. Ia mempersaksikan atas dirinya kepada langit dan bumi serta seluruh makhluk dengan kederhakaan
  10. Ia mengkhianati seluruh makhluk dan menderhaka kepada Tuhan sekalian alam

Wallahua’lam.

Muqaddimah

bismillah

Assalamu’alaikum warahmatullah

Sekadar muqaddimah, salam perkenalan dan ukhwah fillah untuk semua.