“
Iman bukan sesuatu yang boleh dilihat dengan pandangan zahir. Tetapi ianya boleh diukurnilai dengan taqwa, tindakan dan amalan seseorang hamba kepada PenciptaNya.
Persoalan pada tajuk diatas saya bentangkan kepada pembaca sekalian untuk masing-masing mencari kayu ukur untuk menilai dimana kedudukan kita sebagai hamba. Adakah kita percaya kepada Allah, atau kita mempercayakan diri kita kepada Allah. Ramai dan majoriti manusia mengakui percaya kepada Allah, tapi tak ramai yang samada secara sedar atau tidak sebenarnya tidak mempercayakan diri mereka kepada Allah SWT.
Pening??. Keliru??. Apa maksud mempercayakan diri kepada Allah??. Ada bezakah percaya kepada Allah dan mempercayakan diri kepada Allah?. Kalau difikir dengan teliti, satu perbezaan yang sangat jelas dan ketara bagai langit dengan bumi antara dua entiti tersebut.
Sebagai suatu contoh. Sebuah badan telah menganjurkan acara meniti diatas tali untuk mencari siapakah peniti tali yang paling hebat di dalam dunia. Acara yang diadakan di Air Terjun Niagara itu mendapat liputan dan perhatian seluruh dunia. Maka terkumpullah 10 orang peserta lelaki terbaik dari serata dunia untuk menyahut cabaran tersebut. Siapa jatuh risiko sendiri. Maka bermulalah acara yang sangat mendebarkan itu. Peserta pertama mula meniti. Para penonton dan pemerhati melihat dengan penuh debaran di seberang sana. Akan tetapi, belum sempat sampai ke tengah, tiba-tiba dia jatuh kerana tiupan angin terlalu kuat.
Begitulah keadaannya dengan peserta-peserta yang lain sehinggalah giliran peserta yang kesepuluh. Masing-masing dengan yakin mengatakan bahawa peserta ini juga akan menemui ajalnya nanti. Lelaki tersebut mula meniti dengan perlahan-lahan sehingga berjaya sampai ke seberang. Beliau menjerit keseronokan sambil mengatakan akulah peniti tali terhebat di dunia sedangkan para penonton sedikitpun tidak bersorak kegembiraan dan penuh ketakjuban. Masing-masing mengatakan apa yang berlaku hanyalah nasib kerana mana mungkin 9 orang termahir di dunia pun boleh jatuh melainkan dia seorang sahaja. Mungkin ketika itu angin tidak bertiup. Bengang dengan keadaan itu, lelaki tersebut dengan megah berkata, “baiklah, kalau kamu semua tidak percaya tentang kepandaian dan kehebatan aku, aku akan menyeberangi tali itu sekali lagi dan kalau aku berjaya adakah kamu semua akan percaya dan yakin bahawa aku inilah yang terhebat dan terpandai di dalam dunia?!!”. Mereka semua menjawab, “Ya, kami akan percaya”
Maka dia pun menyeberangi sekali lagi. Secara perlahan-lahan akhirnya sampai ke seberang sana. Para penonton semua bersorak penuh ketakjuban. Dia bertanya kepada semua hadirin. “Adakah kamu percaya aku ni terhebat dan terpandai??”. Mereka menjawab “Ya kami percaya!!”. “Kamu yakin??”. Mereka menjawab lagi, “Ya Kami yakin!!”. “Kalau begitu mulai hari ini aku mengisytiharkan akulah peniti tali terhebat, terpandai dan terbaik dunia”. Semua hadirin bersorak tepuk kerana percaya kepada kehebatan lelaki tersebut. Dia kembali berkata, “kalau kamu semua percaya, aku minta salah seorang sukarela di antara kamu. Aku akan dukungnya di atas belakang aku dan menyeberangi jurang air terjun ini!!”. Masing-masing terdiam!. Tiada siapa yang sanggup untuk menjadi sukarelawan dalam tawaran tersebut. Siapa yang sanggup menggadaikan dan menyerahkan sepenuhnya hidup kepadanya walaupun percaya dengan kepandaian lelaki tersebut.
Sekonyong-konyong dari celah orang-orang yang ramai itu keluar seorang kanak-kanak yang dengan lantang menyatakan, “pakcik!!, saya sanggup!“. Masing-masing terkejut. Ada juga manusia yang mempercayakan dirinya kepada lelaki tersebut. Sanggup menyerahkan sepenuhnya risiko hidup matinya kepadanya. Maka mereka pun perlahan-lahan meyeberangi tali tersebut dan akhirnya selamat sampai ke seberang. Semua penonton terus menyerbu kanak-kanak tersebut sambil memuji-muji keberanian dan kesanggupan peyerahan hidup kepada lelaki itu. Mereka bertanya, “bagaimana adik boleh percaya dia boleh membawa dan meyelamatkan adik dari jatuh kebawah?”. Lantas dia menjawab penuh yakin, “sebab dia yang mengajar saya percaya dan mempercayakan diri saya kepadanya”..
Contoh panjang yang saya bawakan ini jelas menunjukkan beza antara dua yang kelihatan serupa itu. Falillahil Mathalul A’la. Sebab itulah ada manusia yang beriman tetapi masih lagi berbuat maksiat kepadaNya. Ada lagi yang melawan suruhanNya. Merasa dirinya sama besar dengan Allah atau besar sedikit dariNya sehingga sanggup menentang segala arahan, suruhan dan hukum-hukumNya secara terang-terangan.~Subhanallah..~ Adakah ini hakikatnya iman??…
Oleh yang demikian itu, sempena keberkatan awal Muharram ini, marilah sama-sama bermuhasabah dan mencari dimana kedudukan iman kita kepada Allah SWT dan sama-samalah kita mulakan penghijrahan kita pada tahun ini dengan mengoreksi iman yang terkadang bertambah dan berkurang ini. Berubahlah dari yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada lebih baik. Sayugialah bagi kita hamba yang penuh pergantungan kepada Yang Maha Pencipta ini yakin dan sedar bahawa hidup dan mati kita ini sepenuh-penuhnya berada didalam tangan dan kekuasaan Allah. Ramai yang percaya begitu, tapi ramaikah yang mempercayakan diri mereka sebegitu??…
aku titik sedikit dari kesimpulan keyakinan dan keimanan yang dicetak dalam hati-hati orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah.
segala kekusutan ini terjadi kerana tidak khatam dua kalimah syahadah yang menjadi titik permulaan menjadi orang Islam. apatah lagi ianya mewarisi turun temurun keislaman dari datuk neneknya. tidak menjadi keberatan untuk menjadi insan yang betul-betul yakin dengan Islam. sebaliknya perkara-perkara yang Allah suruh dan perkara-perkara yang Allah larang tiada beza lagi, sebagaimana yang berlaku dizaman ini.
lalu berlakulah permukahan yang amat dahsyat dalam setiap aspek kehidupan manusia. penuh dengan fitnah dan kemungkaran. pendedahan berlaku dimana-mana. daripada sekecil-kecil maksiat hingga sebesar-besar mungkar. dari memakai baju nampak pusat hinggalah bermandi arak dipusat-pusat hiburan . inilah hakikiat manusia akhir zaman mengaku beriman dengan Allah.
malah di dalam masjid pun kedapatan tok iman tidak bertegur sapa dengan tok bilal. walaupun bulan ramadhan menggamit rahmat, tidak dilayaninya. wallahualam.